e

Tuesday, March 8, 2016

Gerhana 9 Mac 2016: Cara Solat Gerhana


FENOMENA GERHANA MATAHARI SEPARA PADA 9 MAC 2016
JIKA ANDA TERLEPAS ANDA KENA TUNGGU PADA 26 DISEMBER 2019

Pada 9 Mac 2016 nanti, bermula sebaik sahaja matahari terbit, seluruh Malaysia akan dapat menyaksikan Fenomena Gerhana Matahari Separa.

Fenomena Gerhana Matahari umumnya boleh berlaku apabila 3 jasad besar di angkasa lepas, Bumi, Bulan dan Matahari berada di dalam kedudukan selari.

Hasil daripada kedudukan yang unik ini, jasad Bulan akan berupaya menutupi jasad Matahari, lalu akan mengakibatkan bentuk matahari di langit menjadi tidak bulat seperti biasa, dan akan kelihatan seolah-olah hilang sebahagiannya.

Pada lokasi-lokasi tertentu, jasad matahari akan hilang keseluruhannya, lalu terjadilah fenomena Gerhana Matahari Penuh. Pada 9 Mac nanti, hanya negara Indonesia sahaja yang bernasib baik dapat melihat fenomena ini. InsyaAllah saya sendiri akan ke sana untuk cuba merakam fenomena tersebut.

Bagi anda di Malaysia, anda akan dapat melihat sebahagian besar matahari tertutup (bukan sepenuhnya). Fenomena yang ini dikenali sebagai fenomena Gerhana Matahari Separa.

Kali terakhir penduduk Malaysia dapat melihat fenomena Gerhana Matahari Separa ialah pada bulan Januari 2010.

WAKTU KEJADIAN
------------------------------
Gerhana Matahari Separa yang akan berlaku pada 9 Mac 2016 ini bermula sebaik sahaja matahari terbit di ufuk timur.

Bagi penduduk di Utara Malaysia, anda akan dapat melihat matahari sudahpun kelihatan ‘hilang’ sedikit sebahagian daripada sisinya ketika matahari terbit.

Bagi penduduk ke arah Selatan Malaysia, anda akan dapat lihat matahari dalam keadaan sempurna bulat ketika ia terbit, dan berpeluang melihat Sentuhan Pertama (First Contact), iaitu saat jasad Bulan kali pertama mula kelihatan di salah satu sisi matahari, lebih kurang 5-6 minit selepas terbitnya matahari.

Kemuncak Gerhana Matahari Separa ini berlaku sekitar jam 8.23 pagi. Namun, ia bergantung juga kepada kawasan dan lokasi.Selain itu peratusan matahari tertutup juga bergantung kepada lokasi. Semakin ke selatan, semakin banyak peratusan matahari akan tertutup.

Jadual dan rajah di bawah boleh digunakan sebagai panduan asas untuk waktu puncak gerhana serta peratusan matahari tertutup.

Semenanjung Malaysia

Kangar – 8.25 pagi (67%)
Kuah – 8.25 pagi (67%)
Alor Setar – 8.25 pagi (68%)
Georgetown – 8.25 pagi (70%)
Ipoh – 8.24 pagi (73%)
Kuala Lumpur – 8.24 pagi (79%)
Shah Alam – 8.24 pagi (79%)
Putrajaya – 8.24 pagi (80%)
Seremban – 8.24 pagi (81%)
Melaka – 8.23 pagi (83%)
Johor Bharu – 8.24 pagi (86%)
Kuantan – 8.25 pagi (77%)
Kuala Terengganu – 8.26 pagi (71%)
Kota Bharu – 8.26 pagi (68%)

Sabah & Sarawak

Kuching – 8.29 pagi (87%)
Sibu – 8.31 pagi (85%)
Bintulu – 8.33 pagi (82%)
Miri – 8.36 pagi (78%)
Kota Kinabalu – 8.40 pagi (73%)
Sandakan – 8.42 pagi (75%)
Tawau – 8.41 pagi (81%)

Secara umumnya, Gerhana Matahari Separa di Malaysia akan tamat lebih kurang 1 jam 5 minit SELEPAS waktu puncak di atas.

Jika anda terlepas peluang menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa ini, anda perlu menunggu hingga 26 Disember 2019. Pada tarikh tersebut, sebahagian kecil di selatan Sememanjung Malaysia akan berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Cincin, manakala kawasan lain di Malaysia dapat menyaksikan Gerhana Matahari Separa.

LAFAZ NIAT SOLAT SUNAT GERHANA
--------------------------------------------------------------
Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan
أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari
أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”


CARA DAN BILANGAN RAKAAT
---------------------------------------------------
Terdapat 3 cara melaksanakan solat sunat gerhana iaitu;

i. Yang terlebih sempurna ialah dilakukan 2 rakaat dengan setiap rakaat 2 ruku’ dan 2 qiyamyang dipanjangkan bacaan surah dan tasbihnya pada kedua-dua rakaat (Kesimpulannya: jumlah ruku’, qiyam dan sujud adalah sebanyak 4 kali dalam dua rakaat solat sunat gerhana). Ini adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan melibatkan masa yang amat panjang. Kadar panjang bacaan surah ialah surah al-Baqarah (286 ayat) dalam qiyam pertama, sirah Aali Imran (200 ayat) dalam qiyam kedua, surah al-Nisa’ (176 ayat) dalam qiyam ketiga, dan surah al-Ma’idah (120 ayat) dalam qiyam keempat). Kadar panjang tasbih ialah sekadar bacaan 100 ayat dalam ruku’ dan sujud pertama, sekadar bacaan 90 ayat dalam ruku’ dan sujud kedua, sekadar bacaan 70 ayat dalam ruku’ dan sujud ketiga, dan sekadar bacaan 50 ayat dalam ruku’ dan sujud keempat.

ii. Yang lebih sempurna dilakukan 2 rakaat dengan 2 kali ruku’ dan 2 kali qiyam, dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat. Ini adalah cara yang sederhana dan tidak memakan masa yang lama.

iii.Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ini adalah cara dan bilangan rakaat yang paling minimum dan melibatkan tempoh yang singkat.

Huraian Cara Kedua (Sederhana Panjang)

Berikut adalah huraian cara solat gerhana dalam tempoh yang sederhana iaitu sekitar 30-40 minit berdasarkan pengalaman menunaikan solat gerhana bulan pada hari Selasa 15 Syaaban 1428 bersamaan 28 Ogos 2007 lalu. Turut dicadangkan bacaan surah-surah pilihan daripada juzuk ke-30 yang lebih dikenali di kalangan masyarakat kita dengan ’ayat-ayat lazim’.

(Rakaat Pertama)
1. Takbiratul Ihram.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca Isti’azah. (أَعُوْذُ بِالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ)
4. Membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca surah dalam qiyam pertama. Dicadangkan membaca surah surah al-Baqarah (ayat 1-25) atau surah al-A’laa (19 ayat).
6. Ruku’ (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
7. Iktidal dan qiyam kedua, membaca surah al-Fatihah dan surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 26-48) atau surah al-Ghaasyiyah (26 ayat).
8. Ruku’ (kedua) dengan membaca tasbih (90 kali tasbih).
9. Iktidal.
10. Sujud (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
11. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
12. Sujud (kedua) dan membaca tasbih (90 kali tasbih).
13. Berdiri ke rakaat kedua.

(Rakaat Kedua)
1. Qiyam ketiga dan membaca surah al-Fatihah.
2. Membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 49-61) atau surah al-Syams (15 ayat).
3. Ruku’ (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
4. Iktidal dan qiyam keempat, membaca surah al-Fatihah dan membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 62-74) atau surah al-Zalzalah (8 ayat).
5. Ruku’ (keempat) dengan membaca tasbih (50 kali tasbih).
6. Iktidal.
7. Sujud (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
8. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
9. Sujud (keempat) dan membaca tasbih (50 kali tasbih).
10. Membaca tasyahhud akhir.
11. Memberi salam & imam bangun menyampaikan dua khutbah.

No comments:

Post a Comment