e

Wednesday, May 9, 2012

Empat suspek culik Nayati diberkas

Berita terbaru susulan dari kes penculikan Nayati. Berita dari Utusan Malaysia.


KUALA LUMPUR 8 Mei - Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes penculikan kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar yang dilarikan selama tujuh hari sejak 27 April lalu.

Suspek yang berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditangkap berasingan di sekitar Perak dan ibu negara antara tengah malam tadi dan awal pagi ini.

Kesemua suspek ditangkap oleh sepasukan polis yang ditubuhkan khas untuk memburu penjenayah terbabit sebaik sahaja kes ini dilaporkan dan mangsa ditemui selamat pada pagi 3 Mei lalu.

Menurut sumber, ketika ditangkap, polis turut menemui sebahagian wang dipercayai berjumlah RM40,000 yang diterima sebagai wang tebusan daripada keluarga kanak-kanak itu.

"Siasatan awal mendapati kesemua penjenayah ini baru pertama kali terlibat dalam kes penculikan seperti ini.

"Polis bagaimanapun sedang mengesan saki baki ahli kumpulan penjenayah ini yang masih bebas," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.

Nayati diculik ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont Kiara pada 27 April lalu dan ditemui selamat di Restoran Jejantas Sungai Buloh di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan pada Khamis lalu, tujuh hari selepas disembunyikan.

Difahamkan, Nayati, 12, dibebaskan oleh penculik setelah keluarganya membayar wang tebusan berjumlah RM300,000 tengah hari sebelum dia dibebaskan.

Kanak-kanak malang itu yang dibebaskan dalam keadaan selamat dan tidak dicederakan ditemui oleh seorang wanita, Norzaini Zainul Abidin, 31, di luar tandas kawasan rehat itu kira-kira pukul 7.30 pagi.

Difahamkan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan mengadakan sidang akhbar berhubung tangkapan ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur esok.


ENTRI2 BEST!
CARA UNTUK MENJADI LELAKI KACAK
PELUANG UNTUK MEMENANGI LAPTOP, IPAD & IPHONE!
WANG TUNAI RM5000 UNTUK BLOGGER!!

1 comment: