LENGGONG: “Saya menjerit berulang kali supaya pintu dibuka segera kerana tidak dapat bernafas akibat asap yang mula memasuki ruang dalam bas,” kata Jamaliah Kassim, 54, penumpang bas yang menceritakan detik cemas ketika terbabit dalam kemalangan sebuah bas yang bertembung dengan lori di Kilometer 45.2, Jalan Kuala Kangsar - Gerik di sini.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, bas dinaiki 38 penumpang Wanita Umno Bahagian Gerik bertembung dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang daripada perhimpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena Ulang Tahun Umno ke-66, malam kelmarin.
Menurut Jamaliah, dia yang berada di tempat duduk penumpang bas terkandas hampir sejam akibat kemalangan itu. Namun, dia bersyukur kerana terselamat.
“Saya dan penumpang lain tidak boleh keluar kerana pintu bas tertutup tetapi dalam keadaan kelam kabut itu, beberapa wanita nekad terjun melalui bahagian cermin depan bas yang pecah.
“Tidak lama kemudian, beberapa penduduk kampung datang dan cuba memecahkan cermin tingkap bas dengan batu, tetapi gagal,” katanya.
No comments:
Post a Comment