e

Sunday, June 10, 2012

Single PICISAN Jadi Ujian Buat NUBHAN: Pertaruhan Pertama Dari Syarikat Miliknya- Nubhan Records & Productions.


PICISAN Ujian Buat Nubhan

SELEPAS muncul dengan lagu Ada Untukmu, Seadanya Aku, Oh Juwita, Aku Atau Dia dan Mata Hati, kini Nubhan kembali dengan single keenam berjudul Picisan ciptaan Taja dan lirik oleh Ad Samad.

Lebih bermakna bagi anak muda kelahiran Negeri Sembilan ini, karya yang menjadi pertaruhan kali ini adalah buah tangan sulung syarikatnya, Nubhan Records & Productions.

Ketika hadir ke Balai Berita baru-baru ini, Nubhan menjelaskan, Picisan menjadi pilihannya selepas mendengar kira-kira 30 lagu dan gembira apabila single ini mula dimainkan di Hot FM, Suria FM, KLFM dan Nasional FM, Sabtu lalu.

Katanya, sudah lama peminat menunggu kemunculan lagu barunya. Kalau ikut perancangan, single barunya sepatutnya keluar awal tahun ini tetapi memandangkan ini projek terbitan pertama syarikatnya, Nubhan ambil masa lama untuk mencari material berkualiti dan menepati selera pencinta muzik semasa.

“Lagipun, seboleh mungkin saya mahu minimumkan risiko. Jadi saya kena buat penyelidikan secara terperinci. Picisan memenuhi kriteria lagu yang saya cari. Daripada dulu saya suka lagu yang ada jiwa dan memberi makna.

“Saya mahu pendengar dapat merasai apa yang mahu disampaikan dalam lagu saya. Saya bertuah dapat bekerja dengan Taja dan Ad Samad yang memahami apa yang saya mahu.

“Diharap peminat suka dengan Picisan. Urusan promosi sudah bermula di mana selain bertemu media dan radio, saya akan mengadakan persembahan di beberapa tempat dalam waktu terdekat,” katanya yang turut memaklumkan single ini diedarkan Warner Music Malaysia.

Sebagai pelengkap, Picisan tampil dengan muzik video arahan Fakhrul Amin yang memaparkan realiti kisah cinta yang pernah dilalui orang ramai. Penggambaran dilakukan di Kuantan, Pahang selama dua hari, dua bulan lalu.

Nubhan menyifatkan penggambaran muzik video itu pengalaman menarik apabila berpeluang mempelajari kerja-kerja belakang tabir dan pembikinan jalan cerita yang sekali gus mencetus minat dalam dirinya untuk mengarah video muzik sendiri selepas ini.

Katanya, video muzik ini menceritakan percintaan sepasang kekasih daripada zaman sekolah namun apabila masing-masing bekerja, seorang daripada mereka mula beralih hati.



“Boleh dikatakan semua orang pernah melalui zaman cinta monyet dan berharap cinta itu kekal tetapi kecewa apabila tidak kesampaian.

“Mungkin jalan ceritanya klise tetapi itu realiti kehidupan yang berlaku kepada ramai orang. Saya mahu segarkan kembali memori itu dalam muzik video ini.

“Saya gembira bekerja dengan produksi ini kerana bebas memberi pandangan dan idea. Banyak yang saya belajar sepanjang pembikinannya, malah saya sangat berbesar hati kerana Robinson sudi menaja pakaian saya untuk muzik video ini,” katanya yang selesa bergerak sendiri.

Penyanyi yang dilahirkan daripada pentas program realiti Akademi Fantasia ini juga aktif menggilap bakat sebagai pelakon.

Selain membintangi filem Lagenda Budak Setan 3, dia muncul sebagai pelakon utama di samping Jehan Miskin dalam telefilem khas raya nanti berjudul Raya Yang Paling Raya.

SUMBER: MYMETRO
GAMBAR KREDIT SEPENUHNYA KEPADA: FAKHRUL AMIN

No comments:

Post a Comment