Assalamualaikum dan salam Jumaat. Sejak Ramadhan lepas, Zam selalu menulis entri tentang peserta Masterchef Australia Musim 4- Amina El Shafei di blog ini. Kebetulan, rancangan itu dimainkan di sepanjang Ramadhan, jadi Zam selalu layan sambil menyediakan juadah berbuka. Dan yang terbaru, kisah mengenainya dimuatkan dalam Kosmo Selasa lepas.
Kalau dulu Zam selalu hasilkan entri tentang Hana Tajima, kali ini Zam alihkan perhatian kepada Amina El Shafei pula.
PADA era tahun 1980-an di bumi Emiriyah Arab Bersatu, bersatu dua hati dan perasaan yang kemudian dicanai menjadi sebuah cinta sejati.
Cinta antara seorang pemuda Arab dan gadis Korea Selatan yang kemudiannya bersatu di alam rumah tangga itu kemudian membuahkan dua orang zuriat - salah seorang daripadanya dinamakan Amina El Shafei.
Pada usia 29 tahun, Amina kini bangkit untuk menjengah status selebriti bertaraf antarabangsa biarpun dia bukanlah artis yang berkebolehan menyanyi, berlakon atau berteater.
Kejaguhan memasak seperti yang dibuktikan Amina menerusi kemunculan dalam program realiti TV popular, MasterChef Australia musim keempat (MasterChef Australia 4) yang disiarkan di Astro menerusi saluran Lifetime (709) itu telah meletakkan namanya untuk dikenali di seluruh dunia.
Apa yang menimbulkan inspirasi, kebangkitan Amina yang merupakan antara peserta kesukaan ramai dalam MasterChef Australia 4 itu bukan kerana dia berjaya meraih gelaran juara program masakan tersebut.
Malah, dirinya tidak tersenarai dalam kalangan 10 peserta terbaik.
Dia sebenarnya telah tersingkir sejurus sebelum senarai 10 peserta terbaik diumumkan layak untuk meneruskan perjuangan dalam memburu gelaran juara program tersebut.
Namun, tersingkir daripada MasterChef Australia 4 bukan bermakna dirinya langsung tersungkur.
"Sudah tentu saya dilanda emosi kesedihan apabila tersingkir daripada MasterChef Australia 4, sementelah saya hampir-hampir layak tersenarai dalam kalangan 10 peserta terbaik program itu," tuturnya ketika ditemui semasa dia hadir di Kuala Lumpur baru-baru ini yang dibawa khusus oleh Lifetime.
Kembara
Memiliki seraut wajah yang senantiasa menguntumkan senyuman manis penuh ikhlas, Amina ternyata seorang individu yang cukup ceria - sama seperti yang kelihatan ketika dia beraksi dalam MasterChef Australia 4.
Ungkapnya: "Selepas tersingkir daripada MasterChef Australia 4, saya berasa diri ini kosong. Ini kerana saya sudah terbiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti dalam program itu tetapi apabila tiba-tiba saya tidak lagi berada di situ, saya akui agak sukar untuk kembali meneruskan aktiviti memasak. Saya mengambil masa untuk kembali membiasakan diri di dunia realiti."
Selepas meninggalkan segala kenangan manis dan pahit sepanjang berada dalam program tersebut, aura keyakinan dalam dirinya untuk kembali memasak sedikit demi sedikit menyerap dalam dirinya.
"Saya kembali sibuk dengan mengadakan kelas memasak dan demonstrasi memasak," ujarnya yang menetap di Sydney bersama ibu, bapa dan adik perempuannya, Eman, 24.
Amina mengakui, impak daripada penyertaan dirinya dalam MasterChef Australia 4 telah membuka jalan yang terbentang luas buat dirinya untuk meraih kejayaan pada masa depan menerusi bidang masakan.
"Selain cuba mengutip pengalaman dalam bisnes dengan membantu rakan yang mengusahakan restoran masakan Asia Barat, saya juga sedang dalam proses menyiapkan penerbitan buku masakan yang dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun depan," ujarnya yang juga dalam proses merangka sebuah laman web interaktif mengenai segala kegiatan dirinya untuk dihubungkan dengan Twitter dan Facebook.
Peminat muzik jazz ini juga memanjatkan kesyukuran kerana dia kini mampu memenuhi impiannya yang gemar mengembara.
"Selain sudah mengembara ke serata Australia, saya telah berpeluang menjejakkan kaki sejak awal tahun ini ke Sepanyol, Portugal, Maghribi, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan kini, Malaysia. Pada bulan September ini, saya dijadualkan ke London dan dalam proses perbincangan untuk ke Pakistan," tuturnya.
Disangka Melayu
Bercerita mengenai kunjungannya ke Malaysia, Amina tiba-tiba tergelak.
Katanya: "Ketika saya di Kuala Lumpur ada ramai orang yang bercakap menggunakan bahasa Melayu dengan saya. Mereka sangka saya orang Melayu, padahal saya langsung tidak faham apa yang mereka perkatakan."
Ujarnya lagi, di Malaysia dia begitu kepingin untuk merasai kelazatan murtabak.
"Selain murtabak, saya tidak ingin melepaskan peluang untuk menikmati nasi lemak, ais kacang dan asam pedas. Semuanya lazat!" ungkapnya.
Bagaimanapun, apabila ditanya apakah makanan kegemarannya, beritahu Amina: "Saya tidak mempunyai makanan kegemaran. Ia bergantung kepada mood dan cuaca tempat saya berada sebenarnya."
Namun kata Amina, dia mempunyai tiga bahan masakan yang paling disukainya iaitu minyak zaitun, bawang putih dan yogurt.
"Anda boleh mulakan masakan dengan minyak zaitun. Apabila ia berada dalam kuali, banyak yang boleh dihasilkan daripadanya. Bawang putih pula merupakan bahan asas dalam masakan dan saya sangat sukakan yogurt. Ketiga-tiga minyak zaitun, bawang putih dan yogurt sememangnya merupakan 'penghuni' tetap peti sejuk saya," akuinya.
Falsafah
Di sebalik sifatnya yang gemar berjenaka, Amina memiliki falsafah tersendiri dalam melakukan aktiviti memasak.
"Memasaklah daripada hati. Kalau tidak minat memasak tetapi sekadar memasak kerana terpaksa, maka makanan yang dimasak itu tidak akan lazat dimakan," tegasnya.
Tambahnya: "Sebab itu masakan ibu kita lazat kerana mereka memasak dengan penuh rasa kasih sayang."
Ujar Amina, minatnya dalam masakan bercambah apabila melihat kedua-dua ibu dan bapanya memasak di rumah ketika dia di zaman kanak-kanaknya dahulu.
"Biarpun bapa merupakan seorang akauntan manakala ibu pula seorang jururawat, namun mereka berdua gemar memasak di rumah. Merekalah inspirasi saya," tuturnya.
Menyingkap tentang institusi kekeluargaan, Amina menegaskan, dia juga mengimpikan untuk membina keluarga sendiri.
"Suatu hari nanti, saya mahu berkahwin dan memiliki anak-anak sendiri. Lelaki pilihan saya biarlah yang mempunyai ciri-ciri seperti bapa - penyayang dan prihatin," ujar Amina sambil menguntumkan senyuman penuh makna.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2edHay58x
Hakcipta terpelihara
sekali tengok memang cam melayu lah zam...
ReplyDeletekan kak .. serius mcm org malaysia dh
Deletepro gile ni masak..tabik spring laaa..agak2 pejam mata pn blh siap makanan nk dihidangkan
ReplyDeletepejm maa? haha dahsyatttt
Deletepeserta masterchef paling cute yg pernah SB tengok..
ReplyDeletehehe.. mmg cute neh ^^
Deletebangga ada juga muslim sorang :)
ReplyDeleteyup, plus dia pandai memasak ;D
Delete